Home » » Pemimpin Hebat - Panduan Naik Pangkat

Pemimpin Hebat - Panduan Naik Pangkat

Anda kena sedar tidak ada orang lain yang berminat dengan kejayaan anda melainkan diri anda sendiri. Sebagai eksekutif baru anda merupakan ancaman kepada diri dan kedudukan eksekutif tahap atas. Mereka akan berusaha bersungguh-sungguh melindungi kerja mereka. Mereka akan sedaya upaya menyingkirkan anda. Walaupun tidak diperingkat membuang anda. Kalau mereka bijak mereka akan menggunakan kelebihan anda untuk kepentingan organisasi.

Berikut adalah ciri-ciri pemimpin yang berjaya seperti yang dinyatakan oleh Wan Azmi Ramli dalam bukunya Strategi dan taktik.

· wajah dan perwajahan termasuk pakaian

· kesasiahan, gayanya

· kepintaran bertutur/ bijak berbicara

· daya tenaga, dorongan, cita-cita

· sikap positif, unggul dan pemikiran yang membina

· ketelitian - tidak tergopoh-gapah (bukan pak angguk atau pak turut)

· watak keseluruhan

· aura kepimpinan melibatkan keyakinan diri, cara bercakap

· seorang yang pintar dan sempurna, sesekali mampu berserolah

· luas bidang yang diminati kebudayaan, sukan , ekonomi, politik, muzik dan sebagainya

Ciri-ciri pemimpin di atas perlu ada pada anda. Anda akan berusaha untuk menambah ciri-ciri ini dari hari ke hari. Anda kena ada daya tahan untuk meningkat naik. Anda masih muda. Naik terlampau cepat tanpa pengalaman dan ilmu didada akan dikhuatiri ketahanan anda tidak dapat kekal lama. Olehitu, sentiasa berjaga-jaga dengan kerenah mereka ini. Pelbagai cara yang dilakukan untuk menjatuhkan anda. Pak Wan selalu menulis memo meminta kepastian balik kepada ketua yang selalu membuat arahan lisan yang mungkin bertentangan dengan prosedur Jabatan atau Syarikat anda. Apabila arahan telah dibuat oleh anda kepada kakitangan bawahan, jika ada yang tidak kena anda akan menanggung akibatnya. Beberapa rakan-rakan saya telah mengalaminya. Kalau betullah anda tidak ada masa untuk membuat memo anda boleh menyuruh dia menulis arahan dalam buku diary anda. Kalau dia tidak mahu tulis, anda tulis. Minta dia tandatangan. Jangan lupa cari saksi anda. Tanpa saksi jangan buat dulu arahan tersebut. Kalau betul dia berani bertanggungjawab dia akan tandatangan. Anda lihatlah reaksinya.

Seorang sahabat saya Mahadi (bukan nama sebenar) Jurutera Sebuah Syarikat letrik terkemuka di Sarawak. Dia kena fitnah dituduh rasuah dan kes hingga dibawa ke mahkamah. Walaupun akhirnya dia didapati tidak bersalah, dia telah menghadapi tekanan hidup. Mereka yang membuat begitu adalah kerana dia adalah Jurutera Melayu yang berpotensi naik. Ada yang dituduh saja tanpa bukti dia bersalah pun sudah di anggap bersalah. Kalau pihak pengurusan atasan tidak dapat membezakan fakta dan khabar angin. Anda pasti menghadapi masalah. Tali-barut ini yang akan menjaja kelemahan anda. Kalau anda bertindak dengan betul dan mengikut garispanduan Jabatan atau Syarikat anda tidak perlu khuatir. Inilah beberapa tektik yang selalu digunakan oleh pihak senior untuk mengena eksekutif muda yang ghiarah seperti anda.

Nabi Muhamad s.a.w pernah bersabda "Fitnah lebih kejam daripada pembunuhan"

Saidina Ali b. Abu Thalib pernah berkata " Dalam keadaan penuh fitnah, seperti anak unta yang tidak memiliki punggung untuk ditunggangi, tidak memiliki susu untuk diperah".Ada yang sengaja membesarkan perkara yang kecil semata-mata menggugat keyakinan pihak tertinggi kepada anda. Apabila pengurusan tertinggi meragui prestasi anda sukarlah anda nak naik pangkat. Untuk menangani mereka ini anda kena gunakan falsafah Sun Tze:-

"Ketahuilah tentang musuhmu, kenalilah dirimu, anda tiada masalah mencapai kemenangan. Fahami persekitaran maka kemenangan anda terjamin"

" Jika anda tidak mengetahui diri anda sendiri dan tidak memahami musuh anda maka petaka dan bahaya akan menimpa." dan

"Kemenangan datang dari cara mengelak kekuatan musuh dan menyerang dimana kelemahannya"

Pada peringkat ini anda masih lagi lemah. Anda tidak perlu membuat serangan. Ada eksekutif muda yang terlalu ghairah sering kali membuat serangan awal kepada musuhnya. Mereka tidak sedar musuhnya mempunyai kekuatan yang boleh melumpuhkannya. Ikut ikhtibar dari kisah Nabi Muhamad s.a.w. tidak memerangi musuh semasa 13 tahun di Mekah. Beliau mencari kekuatan dan membina pengaruh. Anda yang masih baru dalam kerja janganlah mencari musuh. Ada pepatah menyatakan "Cintailah musuh anda, hal ini membuat musuh anda menjadi gila" dan " Hanya satu alasan mengapa musuh anda tidak dapat menjadi kawan anda, iaitu anda sendiri". Arwah bapa saya selalu berpesan " Jika tidak suka pada ketua, jangan dijadikan dia musuh kerana pada satu masa nanti anda akan memerlukakannya."

Beberapa cara yang boleh digunakan untuk naik pangkat.

1. Anda menjadi rujukan untuk maklumat dan Ilmu.

Ramai yang berjaya adalah menjadi sumber rujukan kepada pengurusan tertinggi dimana dia bekerja. Apa-apa yang berkaitan dengan kerja dipejabat anda perlu tahu. Mesti tahu. Tidak ada kompromi. Tidak tahu, ambil tahu. Belajar. Masa mula masuk universiti dulu pun anda tidak tahu apa-apa bukan. Anda belajar dan anda berjaya. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi seorang yang bermaklumat dan berilmu. Cari seberapa banyak pengalaman dan ilmu yang anda dapat. Jangan malu bertanya kepada kakitangan yang lebih rendah dari anda. Waima, office boy yang telah berpuluh tahun bekerja di pejabat anda. Dari mereka ini, anda akan dapat tahu dengan cepat politik pejabat anda. Mereka selalunya suka bercerita kepada anda. Kena rendahkan diri anda. Bawa mereka minum atau makan tengahari. Galakkan mereka bercerita. Gunakan teknik mendengar yang telah saya nyatakan. Percayalah banyak nasihat yang anda dapat dari mereka. Disamping itu anda kena banyak membaca. Teringat masa masuk kerja, ketua saya suruh baca buku. Dia kata "kalau sudah diperingkat saya ini tidak ada masa nak baca". Baca buku berkaitan dengan pengurusan. Cuba ingat buku yang ketua anda baca. Buku apa? tanyalah dia. Tanyalah setiausahanya. Tanyalah kakitangan lain. Ini adalah proses mencari maklumat. Anda sudah membacanya. Kalau belum pergi cari di perpustakaan atau beli di kedai. Ia amat membantu dalam ide anda bercakap selari dengan ketua anda.

2. Tunjukkan anda pekerja yang rajin.

Ini adalah suatu yang sering kali melucukan kepada saya. Saya perhatikan ramai kaki ampu yang ada disekeliling kita. Ada yang saya lihat pekerja lelaki yang buka baju bagi menunjukkan mereka telah pena bekerja. Ada yang gusuk minyak gris pada tangan dan jumpa dengan bos. Ada yang angkat bakul puji sendiri dan kata orang lain malas.

Ada yang sanggup bawa buah durian bagi bos. Bermacam kerenah yang saya telah lihat. Bagi eksekutif seperti anda anda kena jadualkan keluar dari pejabat pada masa ketua anda keluar pejabat. Semakin kerap dia nampak anda semakin tinggi peluang anda. Jangan keluar dengan tangan kosong. Bawalah sesuatu yang mengambarkan anda seorang yang ingin berjaya contohnya buku atau majalah pengurusan. Jangan bawa fail yang mengambarkan anda akan buat kerja dirumah. Ini menampakkan kelemahan anda dalam membahagikan masa dipejabat. Kalau ada kerja dipejabat yang nak dibuat dirumah masukkan saja dalam pen-drive atau email fail tersebut ke alamat email sendiri. Bila dirumah boleh buka. Sekali-sekala cuba buat kerja pada hari sabtu atau ahad. Rakan saya selalu membuat kerja pada hari sabtu, dia tahu Pengarah selalu ada dipejabat pada hari itu. Buka nak mengampu. Anda seoang yang bermaruah. jangan sampai nampak seperti mengampu. Anda boleh baca kembali artikel kisah tukang urut menjual diri dalam artikel saya yang lalu.

3. Anda Eksekutif berketrampilan

Ini ada kaitan dengan diri anda. Anda kena sentiasa nampak cergas dan bertenaga. Ketua saya sekarang adalah pengarah. Sebelum jadi pengarah, tiap-tiap pagi berjogging di kawasan sekitar pejabat. Dia akan turun awal dan berlari dikeliling pejabat. Dia akan mandi dan bersalin pakaian dipejabat. Bila dah jadi pengarah sekarang tidak ada lagi jogging di pejabat.

Pakaian yang anda gunakan tidak payahlah yang mahal atau berjenama. Apa yang penting ia kemas dan tidak menyakitkan mata. Jenama tempatan jauh lebih murah dari jenama import yang mempunyai kualiti yang sama. Ramai eksekutif muda hendaklah menggunakan pakaian yang sesuai dengan budaya di pejabat anda. Apa yang penting anda kena sesuaikan dengan persekitaran kerja anda. Apa yang penting anda telah menunjukan anda dapat menyesuaikan diri diperingkat pengurusan atasan. Anda tahu apa yang saya maksudkan.

4. Jangan banyak "songel"

Songel bermakna sugi dalam kamus Dewan. Orang yang selalu menyugi sering digambarkan sebagai seorang yang banyak isu. Jangan besarkan perkara yang kecil yang tidak menjejaskan kedudukan anda. Jangan bawa isu yang remeh temeh kepada pihak pengurusan atasan. Mereka ini tidak ada masa memikirkan perkara dan isu kecil yang boleh anda selesaikan. Anda akan digambarkan sebagai seorang yang tidak dapat menyelesaikan perkara yang kecil. Kalau isu kecil tidak dapat diselesaikan bagaimana pula nak menyelesaikan isu besar. Walaubagaimanapun anda kena bersedia. Catatkan isu-isu ini dalam buku kecil anda, sekiranya anda diminta untuk memberi komen anda sudah bersedia. Ketidakupayaan anda memperolehi maklumat dan isu terkini dari dalam unit atau bahagiannya sendiri akan menyebabkan anda dianggap tidak berupaya. Tidak nak beri komen atau kritikan ke atas sesuatu perkara adalah suatu perkara yang lain. Jangan menkritik kepada personal itu sendiri. Ingat mengkritik seseorang adalah cara yang paling cepat mendapatkan musuh dan dia akan dibenci. Ada seorang ketua yang pernah saya kenal, dia selalu minta dikritik secara terbuka. Dia nak menunjukkan kepada semua dia seorang yang terbuka. Apabila dikritik dia akan menyimpan dendam ke atas orang yang mengkritik tadi. Jadi selalulah memuji kerana pujian sajalah yang dapat membawa anda ke atas. Percayalah.

5. Memberi Pendapat dan suarakan bantahan dengan beradab

Anda kena sokong hujah anda dengan lojik dan fakta. Ingat sesuatu yang lojik tidak semestinya benar. Tapi fakta itu pasti benar. Membuat bantahan dengan pendapat sendiri kurang menyakinkan. Kena ada sumber rujukan orang yang lebih dihormati oleh ketua anda. Jika ada kakitangan anda yang telah lama bekerja dan dihormati oleh pengurusan atasan. Cuba dapat sokongannya dahulu. Ini akan menjamin sebarangan cadangan atau pendapat anda mempunyai asas. Anda yang dapat mempengaruhi orang yang penting dipejabat mempunyai banyak kelebihan dalam semua hal. Kuasai dulu orang penting seperti yang saya terang dalam artikel lalu.

Tunjukkan anda seorang yang berstrategi dalam mencadangkan pendapat anda. Sebutkan penyelesaian 1. ke 2 ke 3 dan seterusnya. Apabila anda berhujah begini anda akan nampak lebih sistematik. Seorang sahabat yang saya kagumi sering membuat perkara ini. Dalam mesyuarat atau perbincangan dia akan mencatatkan isi sebarang perbincangan satu persatu. Selesai perbincangan dia akan menjadi perumus hasil perbincangan tersebut secara bertulis. Dia sering menggunakan keadah yang saya katakan sistematik ini.

Sekiranya tindakan yang diambil oleh pihak atasan bertentangan dengan pendapat anda. Terima saja. Jangan berdendam. Buatlah perkara terbaik untuk menyokong tindakan tersebut selagi tidak melibatkan kesalahan agama, undang-undang dan budaya. Hormatilah keputusan pengurusan atasan insyaallah anda akan dihormati.

6. Menarik perhatian pihak atasan.

Kalau anda membuat kerja dengan baik dan bersungguh tidak cukup tanpa perhatian dari pihak atasan anda. Seorang setiausaha disebuah Jabatan yang saya kenali cuma seorang pekerja kontrak telah berkerja lebih 15 tahun. Dia adalah orang yang paling dipercayai ketuanya. Kenapa? Sebab dia sentiasa ada disamping ketuanya, semua dokumen yang penting dia yang membawa sendiri jumpa ketua. Dialah orang yang akan menerangkan sendiri kepada ketuanya berkenaan perkara tersebut. Dia adalah orang yang memudahkan tugas ketuanya. Bukan orang yang menyusahkan ketua. Dia juga adalah saya iktiraf sebagai orang penting dalam artikel yang yang lalu.

Hati-hati individu yang cuba mendapat nama dengan menggunakan hasil kerja orang lain. Pastikan semua orang tahu anda yang membuat kerja tersebut. Gunakan keadah yang digunakan oleh rakan saya. Dia selalu membuat sesuatu kerja dengan memaklumkan kepada ketua apa yang akan dia buat, akan buat dan bila ia dijangka akan disiapkan. Gunakan kesempatan yang ada semasa aktiviti luar bersama ketua untuk menerangkan apa yang anda akan lakukan.


7. Sedia memikul tanggungjawab

Anda seorang yang masih muda dan boleh memikul apa saja tugas yang diberi. Bersedialah memikul tanggungjawab yang lebih besar. Pengurusan tinggi tentu akan merasa gembira sekira anda dapat memikul tanggungjawab ini. Sekiranya ada peluang kenaikan pangkat tentulah anda orang yang akan dipilih.

8. Perancangan mengelak risiko

Sun Tze ada menyatakan " Sekiranya anda dapat menjangka kemenangan sebelum pertempuran maka anda telah menyediakan perancangan yang teliti. Seandainya anda dapat menjangkakan kekalahan sebelum peperangan maka ia bermakna perancangan anda lemah." Anda yang hendak berjaya kena mengambil risiko yang manusabah. Kalau terlalu berhati-hati anda tidak akan kemana-mana. Saya pernah bekerja dengan ketua yang berani mengambil risiko dan cepat membuat keputusan. Semua keputusannya mempunyai asas yang kuat dan sukar nak dipertikaikan.

9. Sayangkan kerja anda dan kerja dengan penuh semangat

Bukan mudah nak cari kerja sekarang. Kalau anda keluar, ada beribu-ribu orang yang menanti mengisi tempat anda. Sedarlah hakikat ini. Sekiranya anda tidak dapat tersenyum dan bersemangat bekerja anda kena fikirkan untuk mencari kerja lain. Anda cuba membuang masa anda. Anda tidak akan kemana-mana dalam bidang pekerjaan anda sekarang. Minat akan datang kemudian. Tidak minat cari cara bagaimana nak minat. Tanya orang sekeliling anda. Ingat jangan dilafaskan atau jaja anda 'tiada minat' bekerja. Pak Mentua saya selalu berpesan " kalau malas jangan lafaskan anda malas. Kalau tidak minat jangan nyatakan anda tidak minat"

10. Naikkan pangkat ketua anda. Anda akan naik sama.

Sekiranya ketua anda naik pangkat dalam setengah keadaan anda akan menjadi orang yang paling layak mangantikan ketua anda. Anda adalah calon yang paling sesuai mengantikan tempat ketua anda. Ia bergantung kepada anda. Sekiranya syarat di atas telah anda penuhi tidak mustahil anda akan naik. Jadi anda kena bersedia dalam memikul tugas ketua anda. Sekiranya dia cuti anda kena buat tugas yang dapat meyakinkan pengurusan atasan anda boleh memikul tugas tersebut.

Selamat. Berjaya.

www.happysus.blogspot.com

Share this article :

0 comments:

Hot Download

 
Support : Official Site | Islamik Info | directory
Copyright © 2013. Tonton TV3 - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Bersama happysus
Proudly powered by Blogger