Home » » Pulau Batu Puteh, ICJ memutuskan 12 undi menyokong berbanding empat menentang

Pulau Batu Puteh, ICJ memutuskan 12 undi menyokong berbanding empat menentang



Link click photo
Link click photo
THE HAGUE, 23 Mei (Bernama) -- Mahkamah Keadilan Antarabangsa(ICJ) hari ini menetapkan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh manakala Malaysia memiliki Terumbu Karang Tengah (Middle Rocks), dan Terumbu Karang Selatin (South Ledge) pula adalah milik negara di mana terletaknya perairan wilayah.

Penghakiman itu menamatkan pertikaian selama 28 tahun antara Malaysia dan Singapura berhubung pulau itu, yang dikenali di Singapura sebagai Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge.

Mengenai Pulau Batu Puteh, ICJ memutuskan 12 undi menyokong berbanding empat menentang bagi menetapkan kedaulatan pulau itu milik Singapura.

ICJ mengundi 15 berbanding 1 bahawa kedaulatan Terumbu Karang Tengah adalah milik Malaysia dan jumlah undi yang sama diterima untuk menetapkan bahawa kedaulatan Terumbu Karang Selatin milik negara di mana terletaknya perairan wilayah.

Penghakiman itu dibacakan dalam mahkamah yang penuh sesak.

Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh, Johor.

Kedua-dua negara memberi jaminan akan akur dengan keputusan ICJ itu, badan kehakiman utama Pertubuhan Bangsa Bersatu. Keputusan mahkmah itu adalah muktamad dan tidak boleh dirayu.

Malaysia dan Singapura juga berulang kali menyatakan bahawa apa sahaja keputusan tidak akan menjejaskan hubungan dua hala.

Penghakiman itu dibacakan oleh Naib Presiden ICJ Shawkat Al-Khasawneh, sebagai pemangku presiden dalam kes ini, pada pukul 10 pagi waktu Belanda dan menamatkan bacaan keputusan itu lima minit sebelum tengah hari.

Shawkat dan 15 hakim lain mendengar penghujahan daripada kedua-dua negara dari 6 hingga 23 Nov tahun lepas.

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan keputusan itu sebagai satu kemenangan bersama dan menyatakan status quo atau keadaannya kekal walaupun Singapura diberi kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh dan Malaysia memiliki Terumbu Karang Tengah.

Penyampaian keputusan itu disiarkan secara langsung oleh RTM dari The Hague, Belanda dari pukul 10 pagi (4 petang di Malaysia).

Pertikaian mengenai kedaulatan pulau itu tercetus pada 14 Feb 1980 apabila Singapura membantah terhadap penerbitan sebuah peta Malaysia pada 1979 yang menunjukkan Pulau Batu Puteh terletak di dalam perairan wilayah Malaysia.

Pertikaian terhadap Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatin pula bermula pada 6 Feb 1993.

Dalam penghakimannya, Mahkamah itu berkata setelah meneliti keterangan oleh kedua-dua pihak ia mendapati Kesultanan Johor mempunyai hak milik asal Pulau Batu Puteh dan telah disahkan secara semula jadinya Sultan Johor berkuasa terhadap Orang Laut di situ.

Orang Laut telah menghuni atau mengunjungi pulau-pulau di Selat Singapura termasuk Pulau Batu Puteh dan menjadikan kawasan maritim itu habitat mereka.

Bagaimanapun Mahkamah itu mendapati kedaulatan berkenaan diserahkan kepada Singapura pada 1980 semasa tercetusnya pertikaian terhadap pulau itu.

Ia merumuskan bahawa dengan mengambil kira tindakan Singapura dan mereka yang terdahulu dalam menggunakan kuasa kedaulatan dan tindakan Malaysia serta mereka yang terdahulu, termasuk kegagalan memberi tindak balas terhadap tindakan Singapura dan pihak terdahulu, sehingga tercetusnya pertikaian kedaulatan pada 1980 terhadap Pulau Batu Puteh yang terlepas kepada Singapura.

Ia mendapati bahawa tindakan tertentu seperti penyiasatan terhadap bangkai kapal oleh Singapura dalam wilayah perairan pulau itu dan kebenaran yang diberikan atau yang tidak diberikan kepada pegawai Malaysia untuk meninjau perairan di sekeliling pulau itu, mungkin boleh dilihat sebagai perakuan kedaulatan.

Ia berkata perkara itu diperkuatkan lagi oleh tindakan pihak-pihak berkenaan dalam menyokong dakwaan Singapura seperti ketiadaan reaksi daripada Malaysia terhadap pengibaran panji-panji Singapura di pulau itu, pemasangan peralatan komunikasi tentera di pulau berkenaan pada 1977 dan cadangan penambakan oleh Singapura untuk membesarkan pulau itu serta beberapa penerbitan dan peta tertentu.

Mahkamah itu juga mendapati bahawa surat bertarikh 21 Sept 1953 oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor menunjukkan bahawa kerajaan Johor tidak menuntut hak milik terhadap pulau itu dan pada 1953 Johor memahami bahawa ia tidak mempunyai kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh.

Semasa penghujahan, Malaysia menegaskan bahawa ia mempunyai hak milik asal terhadap Pulau Batu Puteh lama sejak penduduk terdahulu, Kesultanan Johor dan terus kekal memegang hak milik itu.

Singapura pula mendakwa bahawa pulau itu merupakan terra nullius atau tanah tidak berpemilik pada pertengahan 1880-an apabila United Kingdom (yang lebih dahulu) mengambil alih pulau itu bagi membina rumah api (Horsburgh Lighthouse.)

Bagi Terumbu Karang Tengah, Mahkamah itu berkata keadaan tertentu yang membawa kepada pemilikan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura adalah jelas tidak terpakai ke atas Terumbu Karang Tengah.

Oleh itu Mahkamah memutuskan bahawa hak milik asal patut terus kekal dengan Malaysia sebagai pengganti Kesultanan Johor.

Mengenai Terumbu Karang Selatin pula, ICJ, alat utama Pertubuhan Bangsa Bersatu mengakui bahawa beting itu jelas terletak di perairan wilayah yang bertindih diwujudkan dari Pulau Batu Puteh dan Terumbu Karang Tengah.

Memandangkan mandat tidak diberi oleh kedua-dua pihak untuk menggariskan had sempadan dalam perairan wilayah masing-masing di kawasan itu, ICJ memutuskan bahawa kedaulatan Terumbu Karang Selatin adalah milik negara dalam mana perairan wilayah itu terletak.

-- BERNAMA

Saksikan video batu Puteh


Sila Lamanweb http://www.icj-cij.org/.

download Laporan 81 Mukasurat .


Share this article :

0 comments:

Hot Download

 
Support : Official Site | Islamik Info | directory
Copyright © 2013. Tonton TV3 - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Bersama happysus
Proudly powered by Blogger