Lagi lagu Meng Chee hina Melayu


Jualan secara terbuka CD di Muar perlekeh Bumiputera, cetus isu perkauman

MUAR: Pelajar Malaysia di sebuah universiti di Taiwan, Wee Meng Chee, yang didakwa menghina lagu Negaraku dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan orang Melayu, dikesan turut menghasilkan sebuah lagi lagu bertajuk Kawanku/My Friends yang turut menghina orang Melayu.

Lagu Kawanku/My Friends itu, antara dua lagu Meng Chee yang dimuatkan dalam cakera padat (CD) cetak rompak yang dikesan dijual di sebuah pusat beli-belah, dekat sini. Selain lagu itu, CD berkenaan turut memuatkan lagu Negaraku yang diubah suai. CD itu dipercayai dirakamkan secara haram oleh syarikat atau individu tertentu yang mengambil kesempatan berikutan isu itu sedang hangat diperkatakan.
Kedua-dua lagu itu menjadi lagu pertama dan kedua dalam CD berkenaan itu iaitu lagu Negaraku dimainkan selama lima minit 46 saat, manakala lagu kedua dinyanyikan selama empat minit tujuh saat.

Lagu Kawanku/My Friend berentak rap itu dinyanyikan menggunakan bahasa Mandarin, Melayu dan Inggeris.

Antara liriknya dalam bahasa Melayu, "Cakap lagi la Cina balik China, kalau semua balik sini bukan Malaysia, saya takut mana kamu pergi cari kerja.. tapi biasalah orang Melayu pun tak suka kerja... semua masuk hutan hidung macam sakai.

"Bahasa Melayu saya cakap macam tahi tapi ini ialah saya punya betul feeling sudah 50 tiap-tiap hari tidur tengok hadapan la 2020".

CD itu dipamerkan secara terbuka kepada pembeli, malah lebih mengejutkan apabila lagu itu turut diperdengarkan kepada pelanggan kedai berkenaan tanpa rasa bersalah oleh pekerja kedai berkenaan.

Selain dua lagu nyanyian Meng Chee itu, CD itu turut memuatkan 19 lagi lagu penyanyi terkenal dari Hong Kong, Taiwan, Korea, Singapura dan Amerika Syarikat termasuk lagu penyanyi Gwen Stefani, Linkin Park, Selena, Sean Kingston, Christine Glass dan Goo Goo Dolls.

CD dengan tajuk dalam bahasa Mandarin yang bermaksud Carta Hits Pasar Malam itu dijual dengan harga RM7 dan turut menampilkan gambar Meng Chee yang digelapkan dan ditandakan tulisan Cina merah yang bermaksud diharamkan.

Bahagian bawah kulit muka hadapan CD itu turut tertera tulisan Mandarin yang bermaksud istimewa untuk Wee Chee Meng tajuk lagu Negaraku dan tajuk lagu Kawanku My Friends.

Tinjauan Berita Harian mendapati pekerja kedai itu tergesa-gesa menutup lagu itu apabila melihat pandangan tidak senang pelanggan dalam kedai itu, tetapi apabila ada yang bertanya mengenainya, mereka memberitahu bahawa lagu itu antara lagu dalam dimuatkan dalam CD gabungan ramai penyanyi.

Tinjauan dan pemeriksaan Berita Harian di beberapa lagi kedai CD serta kaset di sekitar bandar ini bagaimanapun mendapati setakat ini hanya sebuah kedai yang menjual CD berkenaan.

Meng Chee yang menggunakan nama samaran Namewee mencetuskan kontroversi apabila menyiarkan klip video lagu rap itu di laman web YouTube pertengahan bulan lalu.

Antara lain, lirik lagu dalam bahasa Mandarin itu mendakwa dasar kerajaan meminggirkan masyarakat Cina, memperlekehkan orang Melayu, wanita Islam bertudung dan azan Subuh.

Sebelum ini, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, dilaporkan berkata kementeriannya sedang mengumpul cadangan untuk dikemukakan kepada Peguam Negara dalam usaha menyekat perbuatan mencerca, memperkecilkan dan memberi gambaran buruk terhadap lagu kebangsaan.

Mengikut Akta Lagu Kebangsaan 1965, seseorang boleh didakwa jika didapati berniat mempermain, menghina dan mencerca Negaraku serta menimbulkan kemarahan orang dengan mempertikaikan lagu itu.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan proses undang-undang terhadap pelajar yang menghasilkan klip video kontroversi Negaraku itu, Meng Chee, diteruskan walaupun sudah meminta maaf secara terbuka Selasa lalu.

Pelajar cerca Negaraku kena tindakan


PERMAISURI: Pelajar Malaysia di Taiwan, Wee Meng Chee yang mempersendakan negara dengan mengubah suai lagu Negaraku tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang sebagai pengajaran kepada pihak lain.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata walaupun Wee sudah memohon maaf secara terbuka, pelajar itu tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
"Bagaimanapun, tindakan melucutkan kerakyatan bukan caranya dan kita jangan bersikap emosional dalam hal ini, sebaliknya lebih rasional kerana undang-undang mengatasi semua pihak...tiada sesiapa boleh terkecuali," katanya selepas merasmikan Perkampungan Hadhari peringkat Parlimen Setiu di Mini Stadium Sungai Tarom, dekat sini, malam kelmarin.

Syed Hamid berkata, tindakan dilakukan MCA yang menyampaikan permohonan maaf itu wajar kerana DAP cuba mempolitikkan isu berkenaan.
Di MELAKA, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, Wee patut dikenakan tindakan paling tegas iaitu dilucutkan kerakyatannya kerana perbuatan menghina negara dan rakyat Malaysia itu dianggap mengkhianati negara dan bangsa.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Melaka, Ashakari Abu Noor, pula berkata kewarganegaraan Wee sewajarnya dilucutkan dan Pemuda tidak akan membenarkan sesiapa saja mempersenda dan menghina lagu Negaraku.

Exco Pemuda Umno Pusat, Datuk Dr Zambry Abd Kadir berkata, setiap anak Malaysia mesti tahu batas atau had ketika melakukan apa juga perkara, termasuk dalam soal kreativiti dan inovasi.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Jabatan Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, beliau menerima banyak maklum balas rakyat, termasuk masyarakat Cina yang marah dan malu atas tindakan Wee.

“Beliau seolah-olah mencabar kredibiliti dan kedaulatan negara dengan mengubah suai lagu Negaraku dalam irama rap,” katanya.


dipetik dari Berita Harian 16 dan 17 Ogos 2007
Share this article :

0 comments:

Hot Download

 
Support : Official Site | Islamik Info | directory
Copyright © 2013. Tonton TV3 - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Bersama happysus
Proudly powered by Blogger