Latest Article Get our latest posts by subscribing this site

Pemimpin Hebat - Mempunyai sentuhan Kemanusiaan

Pemimpin yang mempunyai sentuhan kemanusiaan akan dihormati dan disegani. Menurut Kamus Dewan 'sentuhan' bermaksud "kena sedikit" manakala 'kemanusiaan' adalah "perihal manusia". Pemimpin yang bagaimana boleh dikatakan ada sentuhan kemanusiaan. W.J Brown menyatakan "kunci rahsia untuk menemukan unsur kemanusiaan pada orang lain ialah kita sendiri berperikemanusiaan. Mukadimah Ibn Khaldun m/s 194 menyatakan "ketuanan yang baik adalah sama dengan kelembutan". Pemimpin yang mempunyai kelembutan adalah mempunyai hati budi dan berbuat kebajikan dan mengambil berat. Ibnu khaldun menambah seorang pemimpin yang gemar menghukum akan menyebabkan orang bawahan akan berusaha melindungi diri dengan cara berdusta, bermuslihat dan penipuan. Seorang pemimpin yang disegani ialah baik hati budinya dan membela nasib mereka yang dibawah pimpinannya. Olehitu, seorang pemimpin yang mahu berkuasa mesti mempunyai sikap melindungi orang yang dipimpinnya.

Kepentingan sentuhan kemanusiaan adalah seperti berikut:-

  1. Mengawal tindakan dan sikap orang lain
  2. Akan dihormati dan sentiasa beroleh kuasa tanpa had.
  3. Mudah mendapat kawan dan kurang musuh.
  4. Arahan dan nasihat mudah diikuti.

Cara mendapat sentuhan kemanusiaan.

Memberi tugas berdasarkan kemampuan

Tugas yang diamanahkan hendaklah diselesaikan. Sebagai ketua adalah menjadi tugas anda memberi arahan menyelesaikan kerja atau tanggungjawab. Anda sebaiknya memberi tugas yang mampu dibuat atau dipikul oleh pekerja anda. Kebijaksanaan anda melihat potensi pekerja akan mengelak dia dari dibebani oleh tugas yang tidak upaya dikerjakannya. Ibn Khaldun memetik kisah Ziyad ibn Abi Sufyan, ketika diturunkan oleh Umar dari jabatannya di Iraq. Tanyanya kepada (Umar)

"Apa alasan tuan Amirul Mukminin, apakah kerana lemah atau khianat?"

Umar menjawab:"Saya tidak memecat kerana satu diantara kedua alasan tersebut. Tapi saya tidak mahu membebankan kehebatan otakmu dibeban (dipundak) manusia".

Tuntutan yang berlebihan dari seorang pemimpin akan membawa padah kepada orang yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang cerewet juga memberi kesan kepada orang yang dipimpinnya. Ini menyumbang kepada tanggapan pemimpin tersebut tidak ada sentuhan kemanusiaan. Menyedari cara atau keadah seseorang menyelesaikan sesuatu masalah adalah berlainan. Anda harus memberi penuh kepercayaan kepada mereka menyelesaikan tugas yang diberi. Matlamat akhir adalah tugas diberi berjaya diselesaikan. Biarlah mereka menggunakan keupayaan mereka bagi menyelesaikan tugasan yang diberi.

Tolong menolong

Pemimpin adalah mereka yang memberi dorongan. Ini bukan bermakna pemimpin hanya lepas tangan tanpa menolong. Cara menolong mungkin berbeza. Banyak cara yang dapat anda fikirkan untuk menolong kakitangan yang dalam kesusahan. Dalam surah al Maidah 5:2 Allah berfirman "Dan saling tolong menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketakwaan". Sebagai contohnya ada orang yang dipimpin memerlukan peralatan kerja atau latihan maka adalah menjadi satu kewajipan anda membantu. Ketidakupayaan anda membantu akan menyababkan anda dikatakan hilang sentuhan kemanusiaan.

Bantu mereka dapatkan keinginan

James K. Van Fleet menyatakan keupayaan anda menterjemahkan keinginan mereka menjadi realiti menyebabkan anda mendapat kuasa tanpa had. Jadi, keinginan yang bagaimana yang harus anda beri tumpuan. Setiap seorang memerlukan jaminan kerja, persekitaran kerja yang baik, ingin jadi orang penting, naik pangkat, bergaji besar, berjaya dalam kerjaya dan tugas dan dihormati. Mungkin ada banyak lagi yang dapat anda fikirkan. Saya mengambil contoh ketua satu kumpulan samseng yang selalu kita lihat dalam cerita Cina di TV . Dia akan cuba memenuhi semua impian anak buahnya. Hasilnya dia akan mendapat kuasa dan pengikut yang sanggup berkorban untuknya. Dia mungkin tidak ada sentuhan kemanusiaan kepada orang diluar kumpulannya tetapi sebaliknya bagi kumpulan yang dipimpinnya. Kawan saya Haji Sulaiman seorang imam di sebuah kampung di Kuching, tidak pernah menghampakan sebarang jemputan membaca doa selamat dan tahlil bila dijemput. Ada orang kampung yang menahannya semasa dalam perjalanan balik surau selepas sembahyang Isyak. Beliau akan memenuhi semua harapan dan keinginan mereka.

"Ngabas" atau lawat mereka

Ngabas adalah bahasa Sarawak yang bermakna ziarahi. Anda sebagai ketua seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada orang yang dipimpin. En. Azman seorang yang selalu menziarahi kakitangannya yang sakit. Jika dia mendengar ada kawan-kawannya atau kakitangan yang terlantar dihospital atau dirumah, dia akan melawat mereka. Saya sering mendengar pujian dari anak buahnya memuji sentuhannya kemanusiaan yang tinggi.

Hadis yang di riwayat oleh Al- Bukhari maksudnya " Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Dia tidak akan menzalimi (saudaranya) atau membiarkannya terlantar (dalam kesengsaraan). Yusuf Al-Qaradawi mentafsir perkataan 'terlantar' dalam hadis di atas ialah seorang muslim tidak akan membiarkan saudaranya sesama Muslim terbiar menanggung derita, bahaya dan kesengsaraan secara bersendirian.


Jangan ambil tahu perkara remeh

Ibnu Khaldun menyatakan kelemahan seorang pemimpin adalah bersikap terlalu cerewet. Beliau menggunakan perkataan kedunguan (bererti perihal dungu, kebodohan, kebebelan dan ketololan dalam kamus Dewan) bagi mengambarkan perkataan cerewet. Dato' Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dalam buku "55 petua orang berjaya" menceritakan seorang pendulang emas tidak melayan lumpur pasir yang perlu disingkir dari dulang. Dia menambah ada perkara remeh yang perlu diambil tahu dan ada yang tidak perlu diambil tahu. Jika tidak ia akan merosakkan. Oleh itu jika sesuatu kerja dapat dilakukan oleh orang dibawah anda tidak perlu anda ambil tahu. Apa yang penting hasilnya.

Ikhlas

Sentuhan kemanusiaan tanpa keikhlasan tidak akan berjaya. Walaubagaimana cara anda lakukan. Seorang yang ingin mendapat pulangan daripada sentuhan kemanusiaan yang anda lakukan pasti kecewa kalau dia tidak mendapatkan apa yang dihajati. Seorang yang ikhlas tidak kesan tentang perkara ini. Dr. Danial Zainal Abidin menyatakan dalam bukunya Tip-tip cemerlang Al-Quran perasaan riyak juga adalah pemusnah kepada keikhlasan yang anda buat. Riyak adalah beramal dengan tujuan menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Oleh itu, seorang yang ikhlas melakukan sentuhan kemanusiaan tidak akan kecewa sekiranya tidak dapat apa-apa balasan di dunia. Mereka ini mementing pembalasan di akhirat.

Tegur sapa, ramah tamah dan ingat nama

Saya pernah bekerja dengan ketua yang tidak ada sentuhan kemanusiaan kerana satu perkara yang ramai ingat perkara remeh. Sapaan atau teguran " Hi., Apakhabar" "Hello selamat pagi" , menangguk kepala atau sekurang-kurangnya senyum. Semakin tinggi pangkat anda semakin tinggi kesan sapaan tersebut. Seorang YB. dikawasan saya, menegur seorang tua yang saya kenal. Sapaan itu cuma berjabat tangan dan bertanya khabar. Tidak sampai satu minit. Hasilnya orang tua tadi ingat sampai bila-bila. Pujian ke atas YB tadi sering kali bermain dibibirnya. Kesan juga pasti tinggi bila mereka menyebut nama mereka. Mengingati nama seseorang akan melahirkan perasaan ingin menjadi orang penting, merasa percakapannya didengar dan akan merasa dihormati. Sebagai orang yang baru masuk bekerja anda cuba ingat nama-nama mereka disekiling anda. Kuasa mengingat nama seseorang telah diakui oleh banyak penulis physiology termasuk Dale Carnegie. Kenapa mengingati nama seseorang penting.

Anda yang pernah naik kapal terbang class pertama MAS akan merasa betul-betul dihargai apabila paramugari yang cantik jelita memanggil nama anda. Pasti ada yang terkejut mereka tahu nama anda. Mereka mengetahui nama penumpang daripada senarai nama penumpang. Bayangkan perasaan anda ketika itu. Seorang operator yang hebat di pejabat tempat saya bertugas tahu meningati nama dan no telefon mereka yang penting dipejabat. Sungguh luar biasa bagi mereka yang tidak pernah ingin menghafal nama seseorang. Semakin tinggi pangkat seseorang mempunyai kesan yang amat tinggi kepada mereka yang disebut namanya. Rasa bangga ini akan dikenang sehingga ke akhir hayat.

Mengujudkan perasaan kekitaan.

Perasaan kekitaan boleh wujud di dalam sebuah organasasi atau kumpulan. Tidak mustahil ia juga wujud di syarikat atau jabatan kerajaan di mana anda bekerja sekarang. Semangat kekitaan yang wujud akan dapat dirasa oleh kakitangan jika wujud hubungan saling perlu memerlukan dan bantu membantu di antara satu dengan yang lain. Perasaan sayang kepada tempat bertugas lahir dari perasaan dalam diri dan dalam organasasi anda. Ia tidak dapat wujud dalam suasana organasasi yang mana, kakitangan sering berbalas dan bergaduh di antara satu sama lain. Sebagai seorang ketua peranan anda adalah untuk mengujudkan atau menyemerakkan semangat kekitaan dikalangan kakitangan anda. Banyak cara yang boleh difikirkan. Semakin kerap anda berkumpul bersama diluar waktu pejabat dan semasa dalam perbincangan dipejabat semakin kuat semangat kekitaan anda. Ada yang berkumpul bersama dalam majlis hari jadi, minum petang bersama, bermain badminton, boling atau futsal bersama dan berkelah bersama. Hari keluarga adalah satu contoh yang baik untuk meningkatkan semangat kekitaan ini. Ibnu Khaldun banyak membincangkan perasaan kekitaan dalam buku beliau Mukadimah Ibn Khaldun. Katanya Perasaan kekitaan akan mengujudkan kedaulatan berkuasa yang semulajadi. Anda yang dapat menyemarakkan semangat kekitaan ini boleh dikatakan mempunyai sentuhan kemanusiaan.

Sentiasa Adil

Ketua yang tidak adil dalam menilai orang dibawahnya boleh juga dianggap tidak ada sentuhan kemanusiaan. Pepatah cina ada menyatakan "Betapa pun tajamnya pedang keadilan, ia tidak akan memenggal kepala orang yang tidak bersalah" dan Edward Bond menyatakan anda dapat hidup tanpa kebaikan, tetapi anda tidak dapat hidup tanpa keadilan. Berbagai isu tentang ketidakadilan ditempat kerja sering kita dengar dari media masa masa ini. Kenaikan pangkat di kalangan kaum wanita yang terhad berbanding dengan kaum lelaki. Samsudin Wahab dalam bukunya "Mengurus dan mentadbir pejabat" menyatakan beberapa jenis diskriminasi seperti diskriminasi jantina, diskriminasi agama, diskriminasi bangsa, diskriminasi asal usul dan diskriminasi politik. Memang sukar nak memuaskan hati semua pihak. Pasti ada yang tidak suka. Anda perlu berusaha bersungguh dalam memberi keadilan kepada orang bawahan. Ramai ketua yang tidak membuat tapisan atau menghukum sebelum benar-benar pasti kepada maklumat yang sampai mengenai seseorang individu yang dituduh melakukan sesuatu kesalahan. Guru saya selalu berpesan, sentiasa membuat kepastian akan maklumat yang sampai. Hantar orang membuat pemeriksaan atau siasatan. Periksa 2 kali, 3 kali atau 4 kali sampai puas hati. Membuat keputusan setelah maklumat yang sahih didapati. Encik Tay salah seorang ketua saya akan memaklumkan kepada seseorang kakitangan yang akan dalam perhatiannya untuk mendapat keputusan cemerlang setahun lebih awal. Jika mereka nak dapat kenaikan gaji mereka akan berusaha bersungguh. Ya. biasanya dia akan bagi. Dia dikatakan mempunyai sentuhan kemanusiaan.



Selamat Berjaya


happysus.blogspot.com

Pemimpin Hebat - Panduan Naik Pangkat

Anda kena sedar tidak ada orang lain yang berminat dengan kejayaan anda melainkan diri anda sendiri. Sebagai eksekutif baru anda merupakan ancaman kepada diri dan kedudukan eksekutif tahap atas. Mereka akan berusaha bersungguh-sungguh melindungi kerja mereka. Mereka akan sedaya upaya menyingkirkan anda. Walaupun tidak diperingkat membuang anda. Kalau mereka bijak mereka akan menggunakan kelebihan anda untuk kepentingan organisasi.

Berikut adalah ciri-ciri pemimpin yang berjaya seperti yang dinyatakan oleh Wan Azmi Ramli dalam bukunya Strategi dan taktik.

· wajah dan perwajahan termasuk pakaian

· kesasiahan, gayanya

· kepintaran bertutur/ bijak berbicara

· daya tenaga, dorongan, cita-cita

· sikap positif, unggul dan pemikiran yang membina

· ketelitian - tidak tergopoh-gapah (bukan pak angguk atau pak turut)

· watak keseluruhan

· aura kepimpinan melibatkan keyakinan diri, cara bercakap

· seorang yang pintar dan sempurna, sesekali mampu berserolah

· luas bidang yang diminati kebudayaan, sukan , ekonomi, politik, muzik dan sebagainya

Ciri-ciri pemimpin di atas perlu ada pada anda. Anda akan berusaha untuk menambah ciri-ciri ini dari hari ke hari. Anda kena ada daya tahan untuk meningkat naik. Anda masih muda. Naik terlampau cepat tanpa pengalaman dan ilmu didada akan dikhuatiri ketahanan anda tidak dapat kekal lama. Olehitu, sentiasa berjaga-jaga dengan kerenah mereka ini. Pelbagai cara yang dilakukan untuk menjatuhkan anda. Pak Wan selalu menulis memo meminta kepastian balik kepada ketua yang selalu membuat arahan lisan yang mungkin bertentangan dengan prosedur Jabatan atau Syarikat anda. Apabila arahan telah dibuat oleh anda kepada kakitangan bawahan, jika ada yang tidak kena anda akan menanggung akibatnya. Beberapa rakan-rakan saya telah mengalaminya. Kalau betullah anda tidak ada masa untuk membuat memo anda boleh menyuruh dia menulis arahan dalam buku diary anda. Kalau dia tidak mahu tulis, anda tulis. Minta dia tandatangan. Jangan lupa cari saksi anda. Tanpa saksi jangan buat dulu arahan tersebut. Kalau betul dia berani bertanggungjawab dia akan tandatangan. Anda lihatlah reaksinya.

Seorang sahabat saya Mahadi (bukan nama sebenar) Jurutera Sebuah Syarikat letrik terkemuka di Sarawak. Dia kena fitnah dituduh rasuah dan kes hingga dibawa ke mahkamah. Walaupun akhirnya dia didapati tidak bersalah, dia telah menghadapi tekanan hidup. Mereka yang membuat begitu adalah kerana dia adalah Jurutera Melayu yang berpotensi naik. Ada yang dituduh saja tanpa bukti dia bersalah pun sudah di anggap bersalah. Kalau pihak pengurusan atasan tidak dapat membezakan fakta dan khabar angin. Anda pasti menghadapi masalah. Tali-barut ini yang akan menjaja kelemahan anda. Kalau anda bertindak dengan betul dan mengikut garispanduan Jabatan atau Syarikat anda tidak perlu khuatir. Inilah beberapa tektik yang selalu digunakan oleh pihak senior untuk mengena eksekutif muda yang ghiarah seperti anda.

Nabi Muhamad s.a.w pernah bersabda "Fitnah lebih kejam daripada pembunuhan"

Saidina Ali b. Abu Thalib pernah berkata " Dalam keadaan penuh fitnah, seperti anak unta yang tidak memiliki punggung untuk ditunggangi, tidak memiliki susu untuk diperah".Ada yang sengaja membesarkan perkara yang kecil semata-mata menggugat keyakinan pihak tertinggi kepada anda. Apabila pengurusan tertinggi meragui prestasi anda sukarlah anda nak naik pangkat. Untuk menangani mereka ini anda kena gunakan falsafah Sun Tze:-

"Ketahuilah tentang musuhmu, kenalilah dirimu, anda tiada masalah mencapai kemenangan. Fahami persekitaran maka kemenangan anda terjamin"

" Jika anda tidak mengetahui diri anda sendiri dan tidak memahami musuh anda maka petaka dan bahaya akan menimpa." dan

"Kemenangan datang dari cara mengelak kekuatan musuh dan menyerang dimana kelemahannya"

Pada peringkat ini anda masih lagi lemah. Anda tidak perlu membuat serangan. Ada eksekutif muda yang terlalu ghairah sering kali membuat serangan awal kepada musuhnya. Mereka tidak sedar musuhnya mempunyai kekuatan yang boleh melumpuhkannya. Ikut ikhtibar dari kisah Nabi Muhamad s.a.w. tidak memerangi musuh semasa 13 tahun di Mekah. Beliau mencari kekuatan dan membina pengaruh. Anda yang masih baru dalam kerja janganlah mencari musuh. Ada pepatah menyatakan "Cintailah musuh anda, hal ini membuat musuh anda menjadi gila" dan " Hanya satu alasan mengapa musuh anda tidak dapat menjadi kawan anda, iaitu anda sendiri". Arwah bapa saya selalu berpesan " Jika tidak suka pada ketua, jangan dijadikan dia musuh kerana pada satu masa nanti anda akan memerlukakannya."

Beberapa cara yang boleh digunakan untuk naik pangkat.

1. Anda menjadi rujukan untuk maklumat dan Ilmu.

Ramai yang berjaya adalah menjadi sumber rujukan kepada pengurusan tertinggi dimana dia bekerja. Apa-apa yang berkaitan dengan kerja dipejabat anda perlu tahu. Mesti tahu. Tidak ada kompromi. Tidak tahu, ambil tahu. Belajar. Masa mula masuk universiti dulu pun anda tidak tahu apa-apa bukan. Anda belajar dan anda berjaya. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi seorang yang bermaklumat dan berilmu. Cari seberapa banyak pengalaman dan ilmu yang anda dapat. Jangan malu bertanya kepada kakitangan yang lebih rendah dari anda. Waima, office boy yang telah berpuluh tahun bekerja di pejabat anda. Dari mereka ini, anda akan dapat tahu dengan cepat politik pejabat anda. Mereka selalunya suka bercerita kepada anda. Kena rendahkan diri anda. Bawa mereka minum atau makan tengahari. Galakkan mereka bercerita. Gunakan teknik mendengar yang telah saya nyatakan. Percayalah banyak nasihat yang anda dapat dari mereka. Disamping itu anda kena banyak membaca. Teringat masa masuk kerja, ketua saya suruh baca buku. Dia kata "kalau sudah diperingkat saya ini tidak ada masa nak baca". Baca buku berkaitan dengan pengurusan. Cuba ingat buku yang ketua anda baca. Buku apa? tanyalah dia. Tanyalah setiausahanya. Tanyalah kakitangan lain. Ini adalah proses mencari maklumat. Anda sudah membacanya. Kalau belum pergi cari di perpustakaan atau beli di kedai. Ia amat membantu dalam ide anda bercakap selari dengan ketua anda.

2. Tunjukkan anda pekerja yang rajin.

Ini adalah suatu yang sering kali melucukan kepada saya. Saya perhatikan ramai kaki ampu yang ada disekeliling kita. Ada yang saya lihat pekerja lelaki yang buka baju bagi menunjukkan mereka telah pena bekerja. Ada yang gusuk minyak gris pada tangan dan jumpa dengan bos. Ada yang angkat bakul puji sendiri dan kata orang lain malas.

Ada yang sanggup bawa buah durian bagi bos. Bermacam kerenah yang saya telah lihat. Bagi eksekutif seperti anda anda kena jadualkan keluar dari pejabat pada masa ketua anda keluar pejabat. Semakin kerap dia nampak anda semakin tinggi peluang anda. Jangan keluar dengan tangan kosong. Bawalah sesuatu yang mengambarkan anda seorang yang ingin berjaya contohnya buku atau majalah pengurusan. Jangan bawa fail yang mengambarkan anda akan buat kerja dirumah. Ini menampakkan kelemahan anda dalam membahagikan masa dipejabat. Kalau ada kerja dipejabat yang nak dibuat dirumah masukkan saja dalam pen-drive atau email fail tersebut ke alamat email sendiri. Bila dirumah boleh buka. Sekali-sekala cuba buat kerja pada hari sabtu atau ahad. Rakan saya selalu membuat kerja pada hari sabtu, dia tahu Pengarah selalu ada dipejabat pada hari itu. Buka nak mengampu. Anda seoang yang bermaruah. jangan sampai nampak seperti mengampu. Anda boleh baca kembali artikel kisah tukang urut menjual diri dalam artikel saya yang lalu.

3. Anda Eksekutif berketrampilan

Ini ada kaitan dengan diri anda. Anda kena sentiasa nampak cergas dan bertenaga. Ketua saya sekarang adalah pengarah. Sebelum jadi pengarah, tiap-tiap pagi berjogging di kawasan sekitar pejabat. Dia akan turun awal dan berlari dikeliling pejabat. Dia akan mandi dan bersalin pakaian dipejabat. Bila dah jadi pengarah sekarang tidak ada lagi jogging di pejabat.

Pakaian yang anda gunakan tidak payahlah yang mahal atau berjenama. Apa yang penting ia kemas dan tidak menyakitkan mata. Jenama tempatan jauh lebih murah dari jenama import yang mempunyai kualiti yang sama. Ramai eksekutif muda hendaklah menggunakan pakaian yang sesuai dengan budaya di pejabat anda. Apa yang penting anda kena sesuaikan dengan persekitaran kerja anda. Apa yang penting anda telah menunjukan anda dapat menyesuaikan diri diperingkat pengurusan atasan. Anda tahu apa yang saya maksudkan.

4. Jangan banyak "songel"

Songel bermakna sugi dalam kamus Dewan. Orang yang selalu menyugi sering digambarkan sebagai seorang yang banyak isu. Jangan besarkan perkara yang kecil yang tidak menjejaskan kedudukan anda. Jangan bawa isu yang remeh temeh kepada pihak pengurusan atasan. Mereka ini tidak ada masa memikirkan perkara dan isu kecil yang boleh anda selesaikan. Anda akan digambarkan sebagai seorang yang tidak dapat menyelesaikan perkara yang kecil. Kalau isu kecil tidak dapat diselesaikan bagaimana pula nak menyelesaikan isu besar. Walaubagaimanapun anda kena bersedia. Catatkan isu-isu ini dalam buku kecil anda, sekiranya anda diminta untuk memberi komen anda sudah bersedia. Ketidakupayaan anda memperolehi maklumat dan isu terkini dari dalam unit atau bahagiannya sendiri akan menyebabkan anda dianggap tidak berupaya. Tidak nak beri komen atau kritikan ke atas sesuatu perkara adalah suatu perkara yang lain. Jangan menkritik kepada personal itu sendiri. Ingat mengkritik seseorang adalah cara yang paling cepat mendapatkan musuh dan dia akan dibenci. Ada seorang ketua yang pernah saya kenal, dia selalu minta dikritik secara terbuka. Dia nak menunjukkan kepada semua dia seorang yang terbuka. Apabila dikritik dia akan menyimpan dendam ke atas orang yang mengkritik tadi. Jadi selalulah memuji kerana pujian sajalah yang dapat membawa anda ke atas. Percayalah.

5. Memberi Pendapat dan suarakan bantahan dengan beradab

Anda kena sokong hujah anda dengan lojik dan fakta. Ingat sesuatu yang lojik tidak semestinya benar. Tapi fakta itu pasti benar. Membuat bantahan dengan pendapat sendiri kurang menyakinkan. Kena ada sumber rujukan orang yang lebih dihormati oleh ketua anda. Jika ada kakitangan anda yang telah lama bekerja dan dihormati oleh pengurusan atasan. Cuba dapat sokongannya dahulu. Ini akan menjamin sebarangan cadangan atau pendapat anda mempunyai asas. Anda yang dapat mempengaruhi orang yang penting dipejabat mempunyai banyak kelebihan dalam semua hal. Kuasai dulu orang penting seperti yang saya terang dalam artikel lalu.

Tunjukkan anda seorang yang berstrategi dalam mencadangkan pendapat anda. Sebutkan penyelesaian 1. ke 2 ke 3 dan seterusnya. Apabila anda berhujah begini anda akan nampak lebih sistematik. Seorang sahabat yang saya kagumi sering membuat perkara ini. Dalam mesyuarat atau perbincangan dia akan mencatatkan isi sebarang perbincangan satu persatu. Selesai perbincangan dia akan menjadi perumus hasil perbincangan tersebut secara bertulis. Dia sering menggunakan keadah yang saya katakan sistematik ini.

Sekiranya tindakan yang diambil oleh pihak atasan bertentangan dengan pendapat anda. Terima saja. Jangan berdendam. Buatlah perkara terbaik untuk menyokong tindakan tersebut selagi tidak melibatkan kesalahan agama, undang-undang dan budaya. Hormatilah keputusan pengurusan atasan insyaallah anda akan dihormati.

6. Menarik perhatian pihak atasan.

Kalau anda membuat kerja dengan baik dan bersungguh tidak cukup tanpa perhatian dari pihak atasan anda. Seorang setiausaha disebuah Jabatan yang saya kenali cuma seorang pekerja kontrak telah berkerja lebih 15 tahun. Dia adalah orang yang paling dipercayai ketuanya. Kenapa? Sebab dia sentiasa ada disamping ketuanya, semua dokumen yang penting dia yang membawa sendiri jumpa ketua. Dialah orang yang akan menerangkan sendiri kepada ketuanya berkenaan perkara tersebut. Dia adalah orang yang memudahkan tugas ketuanya. Bukan orang yang menyusahkan ketua. Dia juga adalah saya iktiraf sebagai orang penting dalam artikel yang yang lalu.

Hati-hati individu yang cuba mendapat nama dengan menggunakan hasil kerja orang lain. Pastikan semua orang tahu anda yang membuat kerja tersebut. Gunakan keadah yang digunakan oleh rakan saya. Dia selalu membuat sesuatu kerja dengan memaklumkan kepada ketua apa yang akan dia buat, akan buat dan bila ia dijangka akan disiapkan. Gunakan kesempatan yang ada semasa aktiviti luar bersama ketua untuk menerangkan apa yang anda akan lakukan.


7. Sedia memikul tanggungjawab

Anda seorang yang masih muda dan boleh memikul apa saja tugas yang diberi. Bersedialah memikul tanggungjawab yang lebih besar. Pengurusan tinggi tentu akan merasa gembira sekira anda dapat memikul tanggungjawab ini. Sekiranya ada peluang kenaikan pangkat tentulah anda orang yang akan dipilih.

8. Perancangan mengelak risiko

Sun Tze ada menyatakan " Sekiranya anda dapat menjangka kemenangan sebelum pertempuran maka anda telah menyediakan perancangan yang teliti. Seandainya anda dapat menjangkakan kekalahan sebelum peperangan maka ia bermakna perancangan anda lemah." Anda yang hendak berjaya kena mengambil risiko yang manusabah. Kalau terlalu berhati-hati anda tidak akan kemana-mana. Saya pernah bekerja dengan ketua yang berani mengambil risiko dan cepat membuat keputusan. Semua keputusannya mempunyai asas yang kuat dan sukar nak dipertikaikan.

9. Sayangkan kerja anda dan kerja dengan penuh semangat

Bukan mudah nak cari kerja sekarang. Kalau anda keluar, ada beribu-ribu orang yang menanti mengisi tempat anda. Sedarlah hakikat ini. Sekiranya anda tidak dapat tersenyum dan bersemangat bekerja anda kena fikirkan untuk mencari kerja lain. Anda cuba membuang masa anda. Anda tidak akan kemana-mana dalam bidang pekerjaan anda sekarang. Minat akan datang kemudian. Tidak minat cari cara bagaimana nak minat. Tanya orang sekeliling anda. Ingat jangan dilafaskan atau jaja anda 'tiada minat' bekerja. Pak Mentua saya selalu berpesan " kalau malas jangan lafaskan anda malas. Kalau tidak minat jangan nyatakan anda tidak minat"

10. Naikkan pangkat ketua anda. Anda akan naik sama.

Sekiranya ketua anda naik pangkat dalam setengah keadaan anda akan menjadi orang yang paling layak mangantikan ketua anda. Anda adalah calon yang paling sesuai mengantikan tempat ketua anda. Ia bergantung kepada anda. Sekiranya syarat di atas telah anda penuhi tidak mustahil anda akan naik. Jadi anda kena bersedia dalam memikul tugas ketua anda. Sekiranya dia cuti anda kena buat tugas yang dapat meyakinkan pengurusan atasan anda boleh memikul tugas tersebut.

Selamat. Berjaya.

www.happysus.blogspot.com

Pemimpin hebat - Biarlah orang lain lebih bercakap, anda mendengar.

Hebatnya ketua yang dapat mengamalkan cara ini. Kata-kata hikmah menyatakan kelebihan mendengar antaranya adalah seperti berikut:-

Dengarlah dari satu pihak maka anda akan berada dalam gelap; dengarlah daripada kedua-dua belah pihak maka semuanya akan terang (Halibuton)

Orang yang pandai mendengar itu beruntung, malah lebih beruntung daripada orang yang pandai bicara (R.J Botkin)

Pendengar yang baik, tidak sahaja popular dimana-mana tetapi yang jelas ia menjadi orang yang banyak tahu. (Wilson Mizner)

Kita selalu mendengar penyataan,”Dia terlalu banyak bercakap,” tetapi pernahkah orang mendengar kritikan, ‘Dia terlalu banyak mendengar?”(Norman Augustine)

Keupayaan menjadi pendengar yang baik sangat penting sebagai ketua. Ia membantu anda membina hubungan di pejabat sebagai kakitangan baru. Dalam siri artikel lalu saya juga ada menyatakan kemahiran mendapat maklumat. Matlamat utama anda mendengar adalah kerana anda ingin mendengar komen, kebimbangan dan idea orang lain.

Saya ingin bertanya. Pernah anda berjumpa dengan orang yang terus-menerus bercakap tentang diri sendiri. Ketika seseorang sedang bercakap tiba-tiba dia mencelah, memotong percakapan. Apa pendapat anda tentang orang yang begini. Sikap begini dikatakan membosankan dan mementingkan diri dan ego mereka. Pemimpin hebat hendaklah bersabar. Tahankan rasa ingin memberi komen ketika mendengar orang lain bercakap. Beri peluang kepada mereka meluahkan masalah peribadi, rungutan, kebimbangan dan kesangsian mereka. Beri perhatian dan tumpuan dengan penuh minat. Berikan penghormatan kepadanya. Jangan buat kerja lain semasa bercakap. Pastikan mata anda memandangnya. Percayalah anda akan lebih dihormati. Jika anda dapat melakukan ini kelebihan adalah dipihak anda.

Ajukan pertanyaan tentang apa-apa sahaja supaya dia seronok. Tanya tajuk-tajuk yang berkaitan yang menarik minat mereka. Tanyalah apa sahaja yang membolehkan mereka membuka mulut kepada anda.

Jadilah pendengar yang baik dengan memberi tumpuan kepada maksud yang tersirat. Mereka sering menggunakan pelbagai cara yang hanya nak nyatakan satu perkataan mudah “saya benci kepada ketua unit”. Perhatikan nada suaranya, riak muka, kelakuan, pergerakan tangan dan badannya.

Pengalaman saya dengan kawan dan staff mengajar bukan semua masalah yang diajukan kepada kita memerlukan bantuan kita. Kebanyakannya mereka nak kita mendengar mereka. Hebat kuasa mendengar kalau kita gunakan dengan cara yang betul.


Pemimpin Hebat - keadah kritikan

Mutiara kata yang dapat dipetik berkaitan kritikan:-

Cara menghadapi kritik ialah bersikaplah kukuh seperti pohon beringin, tetepi tetep rendah diri

Eleanor Roosevelt


Mengkritik tidak bererti menentang, memuji tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir baik

S.H.ALATTAS

Mengkritik dengan kata-kata kasar merupakan petanda sempitnya perbendaharaan kata yang dimiliki atau kurangnya kebijaksanaan dalam menilai sesuatu, atau kedua-duanya

(Tiada nama)


Tugas anda yang paling penting dalam hidup adalah mengkritik fikiran, perkataan dan perbuatan anda sendiri

Ray Newton

Jangan kritik sebelum orang itu pasti bahawa anda menaruh keyakinan tidak bersyarat terhadap kebolehan mereka

AJohn Robinson

Tidak ada sesorang pun yang dapat bekerja sempurna dan tekun kerena kritikan, melainkan kerana pujianlah adanya.

Charles M. Schwab

Beberapa perkara yang harus di elak semasa mengkritik;

  1. Menghindari dari perasaan marah, kekecewaan, sakit hati dan meradang
  2. Elakkan perkataan “selalu”, “tidak pernah” atau “paling teruk” jika terlalu banyak digunakan kakitangan akan defensif.
  3. Elakkan menyamakan seseorang dengan sifat negatif
  4. Elakkan dari mendengar khabar angin atau gosip sebelum membuat kritikan dan pastikan anda ada bukti yang kukuh
  5. Elakkan kakitangan merasa malu dan jaga harga diri mereka, gunakan perkataan “ Ini mungkin dapat membantu…” atau “ Ini ada satu idea…”

Apa yang anda harus lakukan.

  1. Berterus-terang. Cakaplah dengan jelas dan membuat bahasa kiasan mungkin tidak dapat menyampaikan niat anda.
  2. Pastikan kritikan anda akan dapat mengubah mereka bertambah baik.
  3. Bersikap jujur dan positif. Jika anda berniat baik kenapa perlu teragak-agak.
  4. Cara yang sebaiknya adalah membetulkan kesalahannya, bukan orangnya

Definasi Pemimpin hebat

Dalam beberapa siri yang lalu dalam blog saya ada menyebut tentang pemimpin hebat. Siapa pemimpin dikatakan hebat. Kenapa saya tidak tulis pemimpin baik atau pemimpin luar biasa. Ramai yang nak jadi pemimpin hebat. Mereka sering tidak dapat mengenali apa yang dimaksudkan dengan pemimpin hebat. Marilah kita melihat beberapa definasi pemimpin hebat.

Definasi pemimpin hebat dalam kamus Dewan adalah “ Orang yang memimpin” sementara “hebat” adalah “ terlalu, teramat sangat (gagah, dahsyat, elok, ramai). Mungkin anda mempunyai takrif sendiri apa yang dimaksudkan dengan pemimpin hebat. Kalau anda minta 100 orang mentakrif kepimpinan anda akan mendapat 100 respon yang berlainan. John H. Zenger dalam bukunya “Panduan Untuk Memimpin” mendefinasikan pemimpin hebat sebagai pemimpin yang memiliki kekuatan sejati dengan kekuatan yang nyata dan dapat membina kekuatan. Beliau menambah ramai pemimpin salah anggap bahawa jalan ke arah kehebatan ialah dengan mencari ciri atau kemahiran yang paling tidak berkesan dan meningkatkan kelemahan ke tahap yang dapat diterima. John H. Zenger telah menyenaraikan lima (5) kekuatan yang dapat membezakan di antara pemimpin hebat dan pemimpin baik iaitu 1) Ahklak 2) Keupayaan peribadi 3) tumpuan kepada hasil 4) kemahiran interpersonal dan 5) memimpin perubahan organasasi.

Sebagai orang Islam kita kena yang ke 6 iaitu IMAN DAN TAKWA. Takwa dan Iman merupakan kekuatan dalaman yang kuat, hebat lagi unik. Dalam Al-Quran surah Al-Talaq 2 – 3

Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, Dia akan adakan baginya jalan keluar dan (Allah) akan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka kepadanya”.

Sebagai pemimpin yang hebat rezeki bukan hanya dalam aspek banyak wang sahaja. Kesihatan, kemudahan memimpin, anak buah, kakitangan yang bagus dan bermacam lain limpah kurnia Allah berikan. Dalam buku Dr Danial Zainal Abidin, tip-tip Cemerlang daripada Al-Quran menyatakan Sahabat nabi menganggap ayat ini sebagai ‘formula menyelesaikan masalah teragung dalam Al-Quran’. Seorang sahabat nabi iaitu Omar bin Khattab mengumpamakan takwa adalah seperti berjalan di atas jalan yang penuh dengan onak dan duri dimana kita hendaklah berjalan dengan hati-hati. Pemimpin yang bertakwa akan melakukan sesuatu dengan berhati-hati dan sentiasa berpegang kepada Al-Quran dan hadis. Akhir sekali untuk

Akhir sekali menurut Ibn Khaldun, dalam buku “mukadimah Ibnu Khaldun” (m/s Lxxxiv) menyatakan manusia mempunyai ciri yang memerlukan pengaruh yang sanggup mengendalikan dan kekuasaan yang ampuh kerana manusia tidak boleh hidup tanpanya.

Beliau juga menyatakan Kepimpinan itu wujud kerana adanya kuasa. . Kuasa itu ada kerana adanya perasaan kekitaan. Jadi Pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang berkuasa. Pemimpin yang berkuasa hendaklah menjadi pemimpin yang berpengaruh

Mengetahui keadah Risikan untuk politik dan perniagaan

Pengetahuan tentang risikan banyak diperkatakan dalam buku cerita keluaran Mainstream Publishing contohnya buku “Jihad The Scret War in Afgahanistan” oleh Tom Carew, "My Jihad" oleh Aukai Collins dan banyak lagi buku. Kebanyakan buku ini mengambarkan kehebatan Mat Salleh dalam dunia perisikan. Ini merupakan propaganda yang dimainkan oleh barat. Mereka ingin menyatakan mereka hebat. Dalam buku The Art of War menyatakan kehebatan keadah peperangan atau taktik perang yang dilakukan oleh Sun Tzu.

Dalam sejarah Islam Khalid Al-Walid juga menggunakan banyak tipu-helah untuk menang dalam peperangan. Keadah yang selalu digunakan adalah pura-pura berundur dan musuh akan diserang dari penjuru kiri dan kanan. Nabi Muhamad S.a.w sendiri merupakan pakar taktik yang hebat sehingga dapat menawan kubu Khaibar yang dikatakan mempunyai sebanyak 7 lapis kubu dan kubu yang paling kuat pada zaman itu. Mempunyai peralatan "manjanik" iaitu lastik besar yang diletak batu atau guni berat di atasnya. Ia umpama peluru berpandu pada masa sekarang. Baginda menggunakan pelbagai helah dan membuat kepungan. Berbagai stretegi termasuk risikan.Perang Khaibar menyaksikan kebijaksaaan Nabi Muhamad s.a.w. menggunakan seorang pengembala kambing sebagai agen perisik untuk mengetahui bilangan tentera di dalam Kubu Khaibar. Pengembala kambing itu memberitahu berapa jumlah ternakan yang disembelih setiap hari dalam Kubu Khaibar dari sini baginda dapat mengagak jumlah sebenar tentera musuh

Di dalam peperangan risikan merupakan salah satu perkara yang penting untuk menang. Amerika menawan Afghanistan dengan mengupah ramai talibarut yang dirasuah bekerja sebagai perisik untuk mereka. Mereka ini dibayar dengan lumayan untuk memberi maklumat dan menyampaikan maklumat. Mereka ini merupakan puak yang kecil yang tertindas dan mereka yang menentang Pihak Taliban.

Dunia perniagaan, syarikat besar mengupah perisik untuk mengetahui maklumat daripada pesaing mereka. Mereka mungkin terdiri daripada bekas pekerja syarikat berkenaan. Mereka ini pasti akan mengetahui banyak perkara tentang syarikat pesaing. Mereka yang di ambil bekerja untuk itu akan menghubungi kawan-kawan mereka di Syarikat pesaing untuk mendapat maklumat. Jadi Syarikat akan melancarkan serangan awal contohnya, menurunkan harga atau mengeluarkan produk yang sama lebih awal menyebabkan pesaing tidak dapat bertahan.

Parti Politik juga memasang talibarut untuk memecahbelahkan perpaduan parti lawan. Di dalam UMNO dalam artikel saya yang awal ada menyebut talibarut parti Komunis dalam Umno. Datuk Abdulah Ahmad, Datuk Abdul Majid dan Khalil Akasah dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menyebar fahaman Komunis pada 2 Nov. 1976. Datuk Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid merupakan pembantu kanan kepada Tun Abdul Razak semasa hayatnya. Mereka ini telah ditangkap dan dikenalpasti sebagai agen Parti Komunis.

Pada masa pilihanraya agen risikan ini akan dipasang untuk mengetahui apakah stretegi parti lawan. Ketidakupayaan pihak SUPP menanam perisik dalam parti lawan menyebabkan mereka diserang pada tengah malam sebelum hari mengundi. Pihak Parti DAP mengunakan gempur ala-gorila dengan membawa pemimpin tinggi DAP dari Kuala Lumpur. Mereka juga menggunakan kesempatan tengah malam bergerak cergas di kawasan perumahan dan mengedarkan risalah. SUPP tidak dapat menjawab segala tuduhan atau isu yang dimainkan. Sebaliknya parti lawan mungkin ada menyemai perisik untuk melumpuhkan parti SUPP. Dikatakan ada perpecahan dari dalam parti itu sendiri. Ini mungkin petanda awal wujud perisik. Memang ia sukar nak dibuktikan. Perisik tidak tidak akan menyatakan mereka perisik walaupun dengan isteri mereka sendiri. Satu contoh yang jelas apabila perjumpaan sulit 5 Ahli Dun kawasan Kuching dengan Supt. Jabatan Tanah dan Survei lima hari sebelum pilihan raya telah diketahui oleh parti DAP. Ini telah mengujudkan suasana tegang di pejabat berkenaan. Parti politik yang tidak menyemai perisik ini akan tewas sebelum pengundian dijalankan. Ini juga bukan fakta kerana banyak faktor lain yang menyumbang kepada kemenangan dalam pilihanraya. Soalnya, bagaimana nak dapat maklumat kalau tidak ada risikan.

Kenapa perlu kita ketahui risikan. Tidak rugi anda tahu ilmu risikan bukan. Sekurang-kurangnya anda dapat mengenal perisik dengan mengetahui jenis-jenis perisik. Menutut Wan Azmi Ramli, dalam buku beliau “Strategi dan Taktik bertindak” membahagikan Perisik kepada 5 jenis

1. Agen Perisik tempatan (native);

Adalah terdiri daripada orang negara musuh atau dalam parti lawan atau daripada syarikat pesaing

2. Agen perisik Dalaman (inside);

Mereka terdiri daripada pegawai yang bekerja untuk musuh.

Ciri-ciri mereka yang boleh diambil sebagai perisik dalaman adalah seperti berikut:-
  • Pegawai-pegawai yang bagus yang telah diketepikan kenaikan pangkatnya, melakukan kesilapan dan dihukum.
  • Kaki ampu yang ingin mendapat keuntungan.
  • Mereka yang tidak memperolehi kedudukan yang dikehendaki.
  • Mereka yang ingin merebut peluang masa susah untuk diri sendiri.
  • Mereka yang tidak tetap pendirian, talam 2 muka.
Mereka ini akan diberi ganjaran yang lumayan yang boleh menambat hati mereka. Kemudian boleh bergantung kepada fakta yang mereka berikan untuk menentang kita. Mereka ini boleh mengwujudkan keretakan dan mengujudkan suasana yang tidak harmoni.

3. Agen Perisik dwihala (doubled); mereka adalah pengintip pihak musuh yang kita gunakan. Apabila pihak lawan menghantar perisik mereka ini akan di rasuah dengan kemewahan supaya menjadi agen perisik kita pula.

4. Agen perisik boleh dikorban (expendable); mereka adalah terdiri daripada pengintip kita sendiri yang sengaja kita beri maklumat dan penerangan yang silap. Kita sengaja bocorkan maklumat yang sebenarnya palsu yang membenarkan agen-agen kita mempelajarinya. Apabila agen ini ditawan musuh mereka akan melaporkan maklumat palsu ini.

5. Agen perisik bergerak-cergas (living); terdiri daripada mereka yang kembali membawa maklumat. Mereka ini merupakan mereka yang bijak, berbakat, matang dan boleh berjaya mendekati musuh. Ciri mereka ini adalah mereka yang pintar tapi nampak bodoh. Mereka yang bahlul tetapi cekal, cergas, tegas, berani, arif dalam hal remeh temeh, tahan lapar, penghinaan dan kutukan.

Kawalan Strategi adalah berkaitan dengan “perang saraf”, perisikan dan keselamatan. Keadah mengawal agen ini adalah boleh disamakan dengan suasana perniagaan dan Parti Politik. Agen perisik hendaklah diambil daripada mereka yang gagah-berani dan rela sedia menghadapi apa jua keadaan dengan tidak mudah berpaling tadah. Mengawal ketat semua maklumat rahsia merupakan pertahanan dalam peperangan/ pilihanraya/perniagaan. Segala stretegi yang akan dijalankan perlu dirahsiakan. Bermacam keadah boleh digunakan seperti menggunakan kod rahsia, mengkelaskan stretegi dan maklumat, mengujudkan suasana dan keadaan yang tidak disangka-sangka dan tindakan mengejut. Bilik Gerakan pilihanraya juga perlu dikawal dan dibahagikan kepada kawasan larangan hanya untuk orang dibenarkan sahaja.

Kawan saya adik ipar YB yang terlibat dalam parti BN di Dun Beting Maro menyatakan pihak Pas telah berkampung di Kampung Beladin menggunakan pelbagai cara gempur ala gerila. Mereka telah memusatkan kekuatan dengan bertanding di satu kawasan sahaja. Taktik mereka dengan membawa doktor untuk memberi perubatan percuma, mengedarkan CD membandingkan rumah bakal YB BN dan YB PAS, membuat bermacam taktik yang belum pernah dialami atau dirasai oleh jentera BN sendiri. Akibatnya walaupun BN menang majoriti cuma 800 lebih sahaja. Peti undi di Kampung Beladin BN kalah. Banyak faktor yang terlibat. Ketidak upayaan mengenal kekuatan lawan merupakan faktor penyumbang.

Kelima - lima agen ini akan bertindak serentak dan mereka tidak tahu keadah operasi diantara satu sama lain. Mereka tidak perlu kenal antara satu dengan lain. Perancang utama adalah ketua kepada agen perisik ini.

Contohnya ,Agen-agen rahsia menurut Sun Tze menerima arahan dalam khemah jeneral dan mereka intim dan akrap dengannya.

Tugas-tugas agen perisik adalah memberitahu kekuatan musuh contohnya siapa pegawai ,jawatan dan pengawal musuh. Semasa piliharaya pula perlu tahu siapa ketua wantia, ketua pemuda dan lain lain jawatan enting parti lawan. Segala pergerakan mereka hendaklah dipantau. Semasa pilihanraya agen yang disemai dalam parit lawan terdiri daripada orang-orang pihak lawan itu sendiri.

Mereka ini terdiri adalah mereka yang tidak puashati dengan apa-apa saja. Tidak puas hati tidak dipilih jadi calon, merasa diri mereka ditindas, mereka yang nak rasa penting dan mereka yang boleh dirasuah. Keupayaan mengetahui kekuatan parti lawan akan membolehkan kita membina stretegi melawan. Pihak parti perlu tahu mempunyai pengetahuan sepenuhnya segala-gala aktiviti agen ini. Mereka ini wajib dan mesti dipelihara dengan amat hati-hati dan dijaga dengan sempurna. Pergerakan yang rahsia penting bagi membolehkan mencapai kejayaan dan kemenangan.

Mengetahui sedikit sebanyak tentang risikan membolehkan persediaan di buat untuk merangka strategi yang berkesan untuk berjaya. Kegagalan risikan akan mengakibatkan kalah dalam peperangan, kalah dalam pilihanraya dan rugi dalam perniagaan.

Pemimpin Hebat tidak perlu mengkritik

Pemimpin yang hebat menghindari diri dari mengkritik orang lain. Niat murni nak membetulkan kesalahan sering disalah anggap sebagai mengkritik. Sebaiknya anda gunakan pendekatan memberi nasihat, rundingan dan menunjukkan cara yang betul tanpa disedari bahawa anda sedang membetulkan kesalahan. Kritikan yang pedas menyebabkan seseorang benci kepada anda. Terimalah hakikat tidak ada orang yang suka dikritik. Cuba anda fikirkan mereka yang anda kritik, bagaimana hubungan anda dengan mereka. Adakah ia bertambah baik. Hargai pendapat orang lain, anda janganlah menghukum mereka menyatakan mereka silap. Contoh "Awak salah". Tun Abdul Rahman Abbas , Yang di-petua Pulau Pinang dalam ucapannya menegur setengah pihak yang suka mengkritik supaya berhati-hati semasa membuat kritikan. Anda akan mencipta musuh dengan terlalu banyak mengkritik kawan.

Menurut kamus Dewan, Kritik bermakna teguran keras, kecaman dan bidasan. Manakala teguran adalah hasil perbuatan menegur-sapa, celaan, ajaran, kritikan dan pertunjuk. Ia juga adalah amaran dan peringatan. Bapa mentua saya seorang Pegawai Polis yang telah bersara sering menyatakan kalau dia membuat teguran tanpa ada orang lain dikeliling itu adalah nasihat bukan kritikan. Kalau begitu bagaimana kita nak menegur orang.

Cara yang sebaiknya adalah membetulkan kesalahannya, bukan orangnya. Jangan cuba mencari siapa yang bersalah walaupun anda sudah tahu dia yang bersalah. Cubalah tanya apa yang telah berlaku? Apa telah terjadi? Mungkin anda sendiri yang melakukan kesilapan. Mereka tidak berani nak menyatakan anda salah. Dalam artikel saya yang lalu ada saya ceritakan bagai mana seorang pengetua yang hebat menegur kakitangan dengan memanggil mereka ke dalam bilik. Orang lain tidak menyedari orang tadi ditegur oleh pengetua itu. Dia menegur dengan bersemuka. Ia dibuat dalam keadaan yang penuh rahsia.

Hj. Sulaiman imam di sebuah masjid mengunakan masa belajar selepas maghrib untuk membetulkan cara sebutan azan, bilal-bilal di masjid tersebut. Beliau mengunakan pendekatan membetulkan kesalahan sebutan azan dengan memberi contoh beberapa sebutan yang tidak betul. Beliau tidak menyatakan siapa yang salah. Sebaliknya menyatakan cara sebutan yang tidak betul dan bagaimana sebutan yang sepatutnya dilafazkan. Cara beliau menyebabkan tidak ada bilal yang kecil hati.


Jangan menegur dalam keadaan marah. Nabi Muhamad s.a.w pernah berpesan bahawasnya marah itu merosak iman, bagai barang pahit merosak madu. Sabar itu adalah separuh daripada iman. Berilah peluang mereka berbicara. Gunakan cara yang sebaiknya dengan mempertimbangkan semua fakta. Berlaku adil. Beri peluang mereka menentukan hukuman dan akhiri perbincangan dengan pujian. Jangan terlalu kerap membetulkan kesalahan mereka.

Anda boleh menggunakan saranan oleh Dale Carnegie iaitu ramai orang yang memuji yang ikhlas, dengan diikuti perkataan kata ‘ tetapi’. Perkataan ‘tetepi’ akan menghilang perasaan saling mempercayai dan merupakan permulaan untuk mengkritik kegagalan. Dia mencadang menggunakan perkataan ‘dan’ selepas menggunakan tetapi.

Contohnya

a) Ahmad, awak ni boleh menjadi pekerja yang cermerlang dan akan bertambah baik kalau awak boleh ‘punch card’ tepat pada masanya.

Perhatikan ayat ini;

b) Ahmad, awak ni boleh menjadi pekerja yang cermerlang tetapi akan bertambah baik kalau awak boleh ‘punch card’ tepat pada masanya.

Kedua ayat diatas seakan sama dalam ayat (a) nampak ikhlas dan tidak disudahi dengan kritikan. Ayat (b) disudahi dengan kritikan.

Pemimpin yang baik dapat memberi contoh teladan yang baik kepada kakitangannya. Ingat kalau kita menunjukkan satu jari kepada orang lain empat lagi jari akan menunjuk balik kepada kita.

Membuat keputusan dengan SWOT


Perancangan Tindakan
1.
2.
3.
4.

Swot Analisis atau “Strength/ weakneses/ opportunities/ Treats” atau (Kuat /lemah /Peluang /Ancaman). Ini merupakan keadah yang anda boleh guna untuk membuat sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan diri atau kumpulan. Anda seringkali buntu dalam membuat keputusan. Saya cadangkan keadah ini. Ia amat berkesan untuk menilai keputusan kita akan mendatangkan kebaikan atau sebaliknya. Sama ada keputusan itu boleh diteruskan atau tidak. Contohnya anda nak beli kereta baru.

Anda boleh senaraikan kekuatan anda seperti kewangan dan lain-lain. Kelemahan anda disenaraikan juga. Seterusnya Ancaman yang bakal anda hadapi dan peluang yang mungkin anda dapati. Kenapa, mengapa, siapa perlu digunakan dalam dalam mencari jawapan kepada 4 persoalan di atas. Anda perlu ikhlas dalam membuat penyenaraian di atas.

Selamat mencuba

Kesetiaan Orang Jepun dengan produk sendiri

Sudah seminggu tidak update blog ini. Saya ingin kongsi cerita menarik tentang orang Jepun yang membeli kayu gergaji. Mr Ho adalah seorang yang bertugas di Pusat Pemprosesan Kayu milik Sarawak Forestry Cooperation. Pusat pemprosesan ini dulu merupakan pusat untuk membuat penyelidikan kayu bagi Jabatan Hutan. Ia telah di serahkan kepada SFC Sdn. Bhd. sebuah anak Syarikat Milik kerajaan Negeri Sarawak. Beberapa minggu lalu pihak pusat ini memproses kayu milik seorang cina. Mereka menerima tempahan untuk memproses kayu keruing. Berpuluh-puluh tan kayu telah siap dibelah. Tempahan diterima dari sebuah syarikat milik Jepun berpangkalan di Miri.

Mr.Ho seorang yang rajin dan kelebihannya boleh berbahasa Jepun. Dia juga boleh menulis Jepun. Orang Jepun ini diakui cerewet dengan tempahan mereka. Mereka telah membuat pemeriksaan terhadap kayu yang dibelah. Saya namakan orang Jepun ini Mr. Kujiyama. Dia adalah manager sebuah kepada Syarikat import dan eksport kayu, di Miri. Ini pertama kali dia membuat pemeriksaan terhadap kayu yang ditempah sebelum dieksport. Dia nampak tidak puas hati dengan kayu yang ditempah.

Apa yang menarik adalah setelah Mr. Kujiyama bertemu dengan Mr. Ho mereka telah bercakap dalam bahasa Jepun. Mr. Ho sendiri memberi tahu saya, orang Jepun ini terkejut mendengar dia boleh berbahasa Jepun dengan fasih. Mr. Ho telah lebih 5 tahun bekerja dengan penyelidik Jepun yang bertugas di situ beberapa tahun lalu. Mr. Ho tahu menggunakan kelemahan orang Jepun ini. Dia sudah masak dengan kerenah mereka. Mereka amat suka kepada orang yang boleh berbahasa Jepun. Mereka begitu menghormati bahasa mereka.

Mr.Kujiyama menerangkan kepada Mr. Ho kayu yang dipotong oleh mereka tidak berapa lurus. Mr. Ho menerangkan ini merupakan pusat penyelidikan bukan sawmill (kilang kayu). Mereka cuma ada 3 bilah bandsaw blade(mesin membelah kayu). Apa yang menarik. Mr. Kujiyama dapat menerima alasan Mr. Ho apabila dia menyatakan mereka menggunakan Bandsaw buatan Jepun. Mr Kujiyama ada mengambil gambar jenama bandsaw untuk dibawa ke Jepun sebagai bukti mereka menggunakan mesin Jepun. Disini semua mesin adalah buatan Jepun dan sedikit Jerman. Dengan alasan mereka menggunakan mesin buatan Jepun, Mr Kujiyama dapat menerima kayu yang telah banyak dipotong. Maka selamatlah berpuluh tan kayu yang hendak dijual ke Jepun.

Begitulah istimewanya orang Jepun mereka kerana mereka bangga dengan barangan buatan mereka. Sedikit kelemahan pada barangan mereka tidak menjadi masalah. Mereka masih boleh menerimanya. Kelebihan Mr. Ho berbahasa Jepun memang telah banyak mempengaruhi keputusan Mr. Kujiyama.


Hot Download

 
Support : Official Site | Islamik Info | directory
Copyright © 2013. Tonton TV3 - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Bersama happysus
Proudly powered by Blogger